KUALA LUMPUR 12 Mei: KEADILAN Johor menuntut supaya polis mengugurkan tuduhan terhadap semua 141 individu yang gambar mereka disiar media arus perdana sebagai peserta Bersih 3.0 ‘yang dikehendaki’.
Mengecam tindakan polis yang menangkap peserta himpunan aman Bersih 3.0, Ketua Penerangan Keadilan Johor, Syed Hamid Ali, berkata ia bercanggah dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, artikel itu memperuntuk hak kepada setiap rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman, berekspresi dan menubuhkan persatuan.
Melalui kenyataan media hari ini, Syed Hamid berkata, paparan gambar dalam akhbar itu juga bertentangan dengan hak setiap individu.
“Individu yang gambar mereka disiar itu, sebenarnya diganggu secara langsung. Mereka mengalami kegelisahan, malu, terancam, malah risiko kehilangan punca pendapatan,” katanya.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN itu berkata, reaksi ‘tegas’ terhadap peserta Bersih 3.0 berlawanan dengan ‘layanan mesra’ kepada peserta perhimpunan pro-Umno.
Beliau kesal dengan perbezaan layanan itu kerana peserta himpunan pro Umno membawa agenda perkauman sempit, diskriminasi gender dan fahaman ekstrim.
Sebelum ini, polis menahan beberapa orang termasuk Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Batu Pahat, Saharulnizam Harun berikutan menuntut reformasi sistem pilihan raya yang bersih.
Mereka bagaimanapun dibebas berikutan permohonan reman ditolak mahkamah.